Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kemaraan ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Denmark 2023 yang berlangsung di Jyske Bank Arena, Odense sebentar tadi.

Berdepan lawan yang cukup berpengalaman iaitu Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan menyaksikan pasangan nombor satu negara itu perlu mengharungi aksi tiga set.

Pasangan dari Indonesia tersebut jelas tidak memberikan laluan mudah buat Aaron dan Wooi Yik terutamanya pada set pertama hingga berjaya mencatatkan kemenangan 16-21.

Tersentak dengan kekalahan pada set pertama itu, Aaron-Wooi Yik tampil dengan lebih bertenaga yang kemudiannya berjaya mencatatkan kemenangan mudah 21-5 bagi mengheret aksi ke set ketiga.

Meskipun Ahsan-Hendra memberikan saingan pada peringkat awal set ketiga, ia tidak menganggu rentak buat pasangan negara itu untuk mengesahkan slot ke suku akhir dengan kemenangan 21-15.

Menanti mereka di suku akhir esok ialah He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China yang menewaskan Rasmus Kjaer-Frederick Sogaard 21-15, 21-15.

Sementara itu, dua lagi wakil negara gagal meneruskan kemaraan selepas gagal untuk menundukkan lawan masing-masing.

Gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas kepada Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand) 15-21, 12-21.

Manakala, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dikecewakan pasangan beregu wanita dari Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 15-21, 21-17, 20-22.

Dua lagi wakil negara akan beraksi sebentar lagi apabila Lee Zii Jia akan berhadapan dengan pilihan utama, Viktor Axelsen dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula bakal bertemu Akira Koga-Taichi Saito.

Terbuka Denmark 2023 merupakan kejohanan yang berstatus Super 750 dalam kalender Persekutuan Badminton Dunia (BWF).